Tuesday 20 September 2011

CINTA DUNIA DAN TAKUT MATI


Seseorang yang sedang dilamun cinta biasanya tidur tidak lena, makan tidak kenyang dan mandinya pun tidak basah.  Hebat benar penangan cinta.  Ada pula ungkapan muluk bagi menggambarkan perasaan cinta yang mendalam,
“Gunung sanggup kudaki...
Lautan api sanggup kurenangi...
Perasaan insan yang dilamun cinta juga biasanya mengalami simptom sentiasa mengingati kekasihnya, rindu untuk bertemu dan takut kehilangan yang dicintai.  Ciri-ciri ini menimpa apa sahaja jenis cinta yang wujud di dunia ini.
Cinta jika diberikan kepada kekasih yang hebat akan menjadikan seseorang itu hebat sebagaimana cinta Rasulullah s.a.w kepada Penciptanya.  Namun jika sebaliknya, kesannya juga adalah buruk sebagaimana cinta Firaun kepada dunia yang dikecapinya. 
Cinta gaya Nabi Muhammad s.a.w ini dikatakan cinta suci, tulus dan hakiki.  Sebaliknya gaya cinta Firaun adalah cinta palsu yang memusnahkan dirinya sendiri.  Cinta gaya Firaun ini dikatakan cinta dunia.  Firaun diuji dengan tahta, harta, wanita, usia yang panjang dan kesihatan yang baik sehingga dia mengaku dirinya adalah tuhan.
Melihat kepada contoh Firaun dan ramai manusia hari ini, ia membuktikan bahawa cinta dunia merupakan pintu kepada  segala perbuatan buruk.  Allah S.W.T berfirman, "Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan  dunia adalah permainan,sesuatu yang melalaikan, perhiasan, saling bermegahan antara kamu, serta saling berlumba mengumpul harta dan anak-anak, seperti hujan yang membuat penanamnya merasa kagumdengan tanaman-tanamannya, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya menguning lalu hancur.  Di akhirat kelak ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredaanNya.   Tiadalah kehidupan dunia selain hanyalah kesenangan yang menipu." (Al-Hadid 57:20)
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh kamu), sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan”.  Sahabat bertanya, “Apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?”.  Rasulullah S.A.W  menjawab, “Bahkan ketika itu jumlah kamu sangat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih-buih di laut.  Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit Al-Wahan”.  Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?  Jawab Rasulullah S.A.W,  “Cinta dunia dan takutkan mati. ”
Hadis riwayat Abu Daud

Rasulullah s.a.w telah memberikan teladan yang baik dalam memanfaatkan naluri cinta yang ada pada setiap manusia.  Dialah suami terbaik dan amat dikasihi oleh ahli keluarganya.  Dia juga adalah pemimpin yang sangat dicintai para sahabat dan umatnya.  Ramai pengikutnya yang sanggup mati kerana mempertahankan dirinya.  Baginda s.a.w merupakan seorang hamba yang  sangat terpelihara hatinya dari kilauan dunia.  Tiada cinta terhadap dunia kecuali cinta kepada Allah dan menyintai sesuatu juga kerana Allah.  Inilah salah satu rahsia kejayaan Rasulullah.

Bagaimana ciri orang yang cinta dunia?  Jika seseorang mencintai sesuatu, maka dia akan melakukan apa saja demi perkara yang dicintainya.  Jika seseorang  mula menyintai dunia, maka akan menyusul pelbagai penyakit hati.  Ada yang menjadi sombong, dengki dan tamak memikirkan untuk mendapatkan perkara yang tidak ada.  Makin cinta kepada dunia, makin tamak.  Bahkan sampai sanggup melakukan perbuatan  keji untuk mendapatkan dunia yang diingini dan  siang malam mengejar dunia untuk kepentingan dirinya.  Benarlah ungkapan muluk, ‘Gunung sanggup ku daki, Lautan api sanggup kurenangi..’.  Segala kata-kata dan tindakan yang menjadi tiket ke neraka tidak lagi diambil peduli.

Dalam sesebuah gerakan jamaah Islam, sifat-sifat ini semua mesti di kikis dan di lontar jauh dari sanubari setiap ahli. Sebagai contoh,  perebutan jawatan dan kedudukan dalam jamaah tidak boleh di jadikan agenda utama perjuangan. Perkara ini kadang-kala boleh berlaku  dalam sesebuah gerakan Islam.  Cabaran dan ujian tetap melanda bagai ombak memukul pantai.

Dalam satu kuliah Subuh baru-baru ini, yang dsampaikan oleh mantan senator @ Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Hjh Jamilah Ibrahim sempena Kursus Kepimpinan & Organisasi siri II, antaranya beliau menegaskan kepada muslimat, jangan sekali-kali berebut jawatan.  Berjuanglah dengan ikhlas mengharap reda dan rahmat Allah, yang penting kerja harus dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.

Perjuangan yang muslimat lalui sekarang jauh lebih baik dan selesa jika dibandingkan zaman beliau dan 20 tahun yang lalu.  Dari itu beliau menyeru agar muslimat melipat-gandakan usaha di samping meningkatkan ilmu pengetahuan di pelbagai bidang termasuk ICT.   Beliau juga mengingatkan agar muslimat sentiasa mengukuhkan ukhuwwah  dan ikatan kasih sayang sesama ahli.

Jadikanlah peristiwa peperangan Uhud dan Hunain sebagai ikhtibar.  Kekalahan dalam Peperangan Uhud berpunca dari sebahagian tentera Islam yang mengabaikan arahan ketua iaitu Rasulullah S.A.W,  disebabkan hendak berebut  harta rampasan perang.  Sehinggakan mereka meninggalkan tempat pertahanan belakang dan diri Rasulullah S.A.W sendiri menerima kecederaan iaitu patah gigi.  Begitulah akibatnya jika ingkar perintah dan arahan ketua dan tamakkan harta.

Manakala dalam peperangan Hunain pula, timbul perasaan ujub di kalangan tentera kerana ramai jumlah bilangan  dan pengikut.  Hari ini memang tidak dinafikan sokongan dan pengikut kita dari kalangan orang bukan Melayu/Islam serta dari golongan profesional dan belia-belia telah ramai jumlahnya, tetapi janganlah kita terlalu yakin dan sombong kerana ramainya yang menyokong kita.  Sifat bergantung hanya kepada pertolongan Allah wajar dilipat gandakan.  Aqidah sentiasa diperbaharui dan akhlak senantiasa di make up agar bertambah cantik jelita.  Gerak kerja haruslah dilakukan dengan berstrategi, ikhlas dan jujur.  Jangan jadikan pujian, sanjungan, anugerah itu dan ini serta imbuhan material sebagai matlamat perjuangan.

Untuk mengikhlaskan hati dengan seikhlas-ikhlasnya, bukanlah satu perkara yang mudah.  Dari itu ilmu makrifatullah harus dipelajari dan diamalkan berterusan.  Disamping itu sentiasa menghadiri program tarbiyah diri seperti usrah, tamrin, mukhayyam, tafaqquh fiddin dan seumpamanya  demi kesinambungan nafas perjuangan dan semangat juang yang tinggi serta diredai Allah.  Paling penting, rafakkan doa tanpa jemu siang dan malam agar Allah kurniakan hati yang ikhlas dan dijauhkan dari penyakit cinta dunia.  Hanya Allah penyelamat hati-hati kita. 

NUKILAN: ummu ubaid & ummu abbas(Melbourne)
17/1/2011-11 Safar 1432H(Lajnah Pemerkasaan parti Dmpp)hrkh

Tuesday 6 September 2011

MAQLUBAH( Nasi terbalik)

Hari demi hari anak-anak buah dok minta resepi nasi arab.  Maaf teramat sangat di pohon.  Bukan tak mau bagi tetapi terlalu sibuk dengan urusan duniawi dan ukhrawi.  Sekarang ini pun agak sibuk juga menyiapkan kertas kerja Penubuhan Badan Amal isteri-isteri Pimpinan PAS yang di beri nama NADI AZUWAJJ dan surat menyurat yang lain disamping menolong Pak Lang menyiapkan artikal untuk mempertahankan kenyataan Tn Haji Mohamad Sabu berkenaan dengan isu Amad Indera.

Ok, jika tidak dapat membeli rempah maqlubah di kedai arab di sekitar Kuala Lumpur ini, bolih campurkan rempah nasi briyani dengan sedikit serbuk lada hitam.

                       MAQLUBAH AYAM/KAMBING
                     1 kilo beras basmati
                      3 sudu besar rempah maqlubah
                      2 biji terung panjang yang dijiris dan di goreng
                      2 batang karot yg di potong bulat dan di goreng
                      5 biji kentang yang di potong nipis dan di goreng
                      1 mangkok kacang kuda yang telah di rebus
                       Air rebusan ayam/kambing(ikut sukatan beras)(garam secukup rasa)
                       Cara membuatnya:
                       a) Gaul beras dengan rempah dan tabur sedikit di dalam periuk
                       b) kemudian letakkan ayam/kambing sedikit di atas beras tadi di selang seli dengan
                            sayur2 yang telah digoreng tadi sehingga habis beras .
                        C)kemudian tuangkan air rebusan tadi perlahan2 di dalam periuk yang telah           
                            berisi dengan ayam/kambing,sayuran,kacang dan beras.
                        d)Masak dengan api yang sederhana  dan jangan di kacau sehingga ianya masak.    
                        e)Setelah  masak, tuangkan ke dalam dulang.

                  SALATAH
                       Timun, capsicum di potong kuib,sedikit bawang besar dipotong kuib or halus,lemon  
                        di potong-potong dan di campur dan gaul semua di masukan garam sedikit dan sedikit
                       rincikan daun ketumbar.

                  HARARAH(SAMBAL)
                       5 biji tomato + 2 biji cili merah +(3 biji cili padi-jika nak  pedas) blend.

                  Nasi KABSAH
                  1 kilo/4 cawan beras basmathi
                   bahan2 menumis macam untuk nasi briyani
                   4 sudu makan rempah kabsah(beli di kedai arab di Ampang/Gombak)
                   5 sudu makan tomato paste
                   2 biji tomato di potong kuib
                   air rebusan ayam/kambing 4 1/2 cwn(secukupnya)
                  
cara membuatnya:
                     i) Panaskan periuk(minyak sapi +minyak jagung)tumis bahan2 tumisan.
                     ii)masukan tomato paste,rempah ,ayam/kambing, tomato , air rebusan dan garam.
                     iii)Setelah air mendidih, masukan beras, masak hingga masak nasinya.
Salatah dan hararah macam di atas..

Sunday 21 August 2011

Memburu Lailatul Qadar, Apa persiapan kita?





Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini
pada malam Lailatul Qadar,
Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu?
Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”
(Al-Qadr: 1-3)

Lailatul Qadar atau malam Al-Qadar diberi nama tersebut kerana kebesaran dan kemuliaan qadar atau kedudukan malam itu di sisi Allah SWT disebabkan banyaknya dosa-dosa kesalahan manusia yang diampuniNya pada malam itu. Sabda RSAW: ”Barangsiapa menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan keimanan dan penuh tulus ikhlas semata-mata mengharapkan ganjaran Allah, maka diampuni Allah akan dosa-dosanya.” Kelebihan Lailatul Qadar digandakan Allah SWT segala amalan dan ibadah di dalamnya lebih dari seribu bulan.

Bila malam Lailatul Qadar turun? Bila waktunya yang tepat? Pertanyaan tersebut, tidak mampu menemukan jawapan yang pasti mengenai bila turunnya Lailatul Qadar itu. Hadis daripada Jabir, RSAW berkata: ”Bahawa aku telah diperlihatkan Lailatul Qadar, kemudian aku lupa iaitu pada 10 malam-malam yang akhir Ramadhan.”
Ada Hadis yang diriwayatkan Abu Dawud menyebutkan, Dari Abdilah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang Lailatul Qadar. Beliau menjawab: Lailatul Qadar ada pada setiap bulan Ramadhan.”  Namun menurut hadis lainnya yang diriwayatkan Aisyah, Nabi Muhammad SAW memerintahkan: Carilah Lailatul Qadar itu pada tarikh ganjil dari sepuluh terakhir pada bulan Ramadhan.” Menurut beberapa hadis yang lain pula, RSAW menyebutkan Lailatul Qadar itu terjadi pada malam-malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan iaitu tarikh ganjil pada 10 akhir Ramadhan. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa Lailatul Qadar tidak jatuh pada malam tertentu sahaja bagi setiap tahun, bahkan ianya bertukar-tukar di antara malam-malam yang ganjil pada 10 malam yang akhir itu.
Bilakah sebenarnya malam-malam yang ganjil itu, apabila umat Islam berpuasa tidak semestinya serentak memulakan puasa pada tarikh yang sama. Ini bererti sepuluh malam yang akhir itu, kesemuanya berkemungkinan menjadi malam yang ganjil.
Barangkali di antara hikmah tidak diberitahukannya tarikh yang pasti Lailatul Qadar adalah untuk memotivasi umat agar terus beribadah, mencari rahmat dan redha Allah bila-bila masa dan di mana saja, tanpa harus tertumpu pada satu hari saja. Jika malam Lailatul Qadar diberitahukan tarikh kepastiannya, maka orang akan beribadah sebanyak-banyaknya hanya pada tarikh tersebut sahaja.

Para ulama’ mengajarkan, agar mendapatkan keutamaan Lailatul Qadar, maka hendaknya kita memperbanyak ibadah selama bulan Ramadhan, di antaranya, sentiasa solat fardhu lima waktu berjamaah, mendirikan solat malam atau qiamullail (solat tarawih, tahajud, dll), membaca Al-Qur’an, memperbanyak zikir, istighfar dan memperbanyak membaca doa.

Namun masih ramai di kalangan kita yang tidak pernah terfikir untuk merebut peluang rahmat yang dikurniakan Allah SWT di bulan yang mulia ini. Mana mungkin kita dapat mengecapi nikmat beribadah di bulan mulia ini jika menyusul sahaja pertengahan Ramadhan kita sudah sibuk dengan persiapan menyambut Eidulfitri. Ketika inilah kita sibuk memilih baju-baju raya, merancang juadah hari raya, langsir, perabut rumah yang serba baru serta kelengkapan lain. Inilah fenomena yang sudah menjadi seperti budaya dalam masyarakat hari ini.

Padahal untuk mencari Lailatul Qadar pada 10 malam yang akhir itu kita sepatutnya telah menyiapkan diri selama 20 hari dari awal Ramadhan lagi sehingga tercapailah tahap taqarrub kepada Allah SWT dan penjernihan jiwa. Dalam tempoh 20 hari itulah ditingkatkan amal ibadah dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Menurut Imam Al-Ghazali, untuk memperoleh kejernihan jiwa, seseorang itu perlu melakukan pengasingan diri/‘uzlah. Harapannya adalah agar mampu merenung tentang diri dan masyarakatnya secara jujur.


Dalam konteks kehidupan masa kini, ‘uzlah tidak boleh hanya diterjemahkan secara harfiah iaitu mengasingkan diri. Sebab jika itu dilakukan, ianya akan dinilai sebagai orang yang menjauhi kenyataan, lari dari tanggungjawab dalam menghadapi masalah sosial.

Ketika permasalahan sosial semakin meningkat dan kian parah, seperti pembuangan bayi, pembunuhan, bunuh diri, sumbang mahram, dadah, ketagih arak, jumlah pengangguran yang bertambah, maka kita harus menafsirkan ‘uzlah di malam Lailatul Qadar dengan ibadah konkrit yang dapat dirasakan langsung oleh sesama umat manusia.

Keperihatinan sosial merupakan satu manifestasi dari keimanan. Bagi mereka yang sedang diberi amanah berupa kekuasaan, samada di peringkat pimpinan parti atau pentadbiran negara, hendaklah lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sedaya upaya yang mungkin dan penuh ikhlas memperhatikan nasib dan kepentingan rakyat. Rakyat harus didekati dan diutamakan untuk mengetahui lebih jauh tentang keinginan dan permasalahan mereka.

Amatlah mustahak difahami bahawa tidak semestinya kita dapat mengetahui bahawa orang yang menghidupkan Lailatul Qadar itu ia akan mendapatnya. Apa yang penting diambil kira ialah melakukan amal dengan bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas samada ia mengetahui atau tidak malam tersebut, kerana adakalanya mereka yang tidak mengetahui malam Lailatul Qadar itu, lebih tinggi dan lebih besar darjat kedudukannya di sisi Allah daripada mereka yang mengetahui malam tersebut kerana kesungguhan amalan mereka itu. Semoga kita termasuk dalam golongan yang mendapat kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah SWT.
Hjh Rosiah Salleh@ummu ubaid: S/U Laj. Pemerkasaan Parti DMPP

Thursday 18 August 2011

PENJELASAN TERPERINCI BAB MEMBACA AYAT-AYAT AL-QURAAN KETIKA HAID DAN NIFAS



Makalah ini di tulis dengan tajuk yang sedia maklum untuk panduan mereka yang dalam haid dan nifas supaya tidak terlepas dalam beramal untuk merebut peluang bulan Ramadhan yang datang setahun sekali.  Tidak ada sebarang maksud untuk bolih di tafsirkan sebagai menimbulkan kekeliruan. Kerana penulis sudah pun meniliti pendapat-pendapat ulama’ dengan tidak terikat hanya dengan satu-satu golongan atau mazhab.  Apa yang penting, penulis memilih pendapat ulama’ yang bolih membuka peluang untuk yang berkenaan beramal dengannya.   Tambahan pula pendapat yang di pilih adalah yang mempunyai hujah-hujah yang lebih kuat berdasarkan keterangan nas-nas hadis yang soheh.
Sememangnya diakui bahawa hukum membaca Al-Quraan adalah berbeza pendapat ulama’ mengenainya.  Dengan lain perkataan ia adalah masalah Khilafiah yang tidak perlu di perbesarkan apatah lagi dikalangan  golongan orang yang berilmu. Masing-masing bolih memegang pada pendapat yang dia rasa senang dan yakin untuk beramal dan tidak perlu menyalahkan pendapat lain yang dia tidak beramal denganya.
Berhubung dengan perkara ini, ada terdapat dua pendapat ulama’ yang masyhur iaitu seperti berikut:
1.    Golongan yang mengharamkan:Dengan alasan berpegang kepada sebuah hadis yang di riwayatkan olih Abu Daud, daripada Ibnu Umar daripada RSAW sabdanya:”Tidak bolih membaca sesuatu daripada al-Quraan bagi orang yang kedatangan Haid dan orang yang berjanabah”.
Hadis ini di sisi ahli Ilmuan adalah di anggap dhoif kerana antara periwayat hadis ini terdapat Ismail bin ‘Eiyash daripada Hijaz yang riwayat daripadanya di anggap dhoif olih ulama’ hadis.
Golongan ini juga berhujah dengan sebuah hadis yang di riwayat olih Saidina Ali katanya yang bermaksud:”RSAW membacakan al-Quraan kepada kami pada setiap keadaan selama baginda tidak berjanabah”. Golongan ini mengkiaskan larangan membaca al-Quraan pada golongan yang kedatangan haid dan nifas dengan hukum melarang membacanya  pada orang yang berJanabah. Alasan ini di tolak olih golongan yang mengharuskan wanita yang kedatangan haid dan nifas membaca al-Quraan dengan hujah bahawa mengkiaskan hukum wanita kedatangan haid dan nifas kepada hukum orang yang berJanabah adalah kias yang tidak tepat atau di sebut Kias Ma’a al Faariq kerana keadaan orang haid dan nifas tidak sama dengan keadaan orang yang berJanabah. Ini kerana haid dan nifas tidak ada pilihan bagi seorang wanita atas kedatangannya dan juga tidak dapat menguasai tempohnya. Tambahan pula haid dan nifas itu tempohnya adalah panjang, sedangkan orang yang berJanabah mendapat Janabahnya dengan pilihannya dan tempohanya pula pendek dan dia bolih mengangkat hadas Janabahnya dengan segera dan terus bolih membaca al-Quraan.  Dari itu ianya tidak bolih di kiaskan dengan haid dan nifas.

Golongan yang mengharamkan ini pun ada ketikanya mengharuskan wanita yang kedatangan haid dan nifas itu membaca ayat-ayat al-Quraan dalam keadaan tertentu seperti mereka yang menghafal al-Quraan atau membacanya kerana ada dalam peperiksaan atau ujian atau membacanya sebagai doa, seperti membaca ayat al-Kursi atau 3 qul ketika hendak tidur .

2.    Golongan yang kedua:Yang mengharuskannya dengan alasan tidak ada  keterangan atau nas yang melarangnya.  Mereka berhujah dengan hadis Aisyah r.aketika menunaikan Haji Wida’, sedangkan dia di dalam haid,RSAW bersabda kepadanya:”Buatlah apa-apa yang dilakukan olih orang yang mengerjakan haji kecuali tawaf di Baitullah sehingga anda suci”.
Didalam hadis ini tidak ada larangan membaca al-Quraan.  Sedangkan antara amalan orang yang mengerjakan haji itu adalah membaca ayat-ayat al-Quraan.
Golongan ini juga berhujah bahawa sekiranya wanita yang dalam haid dan nifas ini di larang membaca al-Quraan, pastilah RSAW ada menyebut atau menyatakannya kerana kedatangan haid dan nifas adalah perkara yang berlaku sebagai hadas besar kepada setiap wanita disetiap zaman dan masa. Maka adalah tidak dapat di terima akal jika sekiranya perkara yang sedemikian besar dalam kehidupan seseorang wanita itu di biarkan begitu saja tanpa ada bimbingan dari RSAW dan hanya menyerahkan pada ijtihad para ulama’.

3.    Kesimpulanya:
·         Hukum membaca ayat-ayat al-Quraan bagi wanita dalam haid dan nifas adalah perkara khilafiah  atau berbeza pendapat para ulama’mengenainya.
·         Dalam masalah khilafiah, para ulama’ bolih memilih mana-mana pendapat yang mahu di amalkan dan di ajarkanya pada masyarakat  awam.
·         Dalam masalah khilafiah, tidak bolih salah-menyalahkan antara satu golongan dengan golongan yang lain selagi mana pendapat-pendapat yang berbeza itu bersumber dari golongan ulama’ yang muktabar.
·         Perbezaan pendapat para ulama’(dalam masalah khilafiah)bolih memberi kemudahan untuk beramal menurut kesesuaian masa dan keadaan. Contohnya:Membayar zakat fitrah adalah dengan beras(di Negara kita)menurut Mazhab Shafie. Tetapi apa yang kita amalkan adalah membayarnya dengan wang sebagai nilai harga beras tersebut. Atau pun seperti memilih untuk beramal dengan satu pendapat dalam  Mazhab Shafie mengenai aurat wanita yang mengharuskan mendedahkan muka dan tapak tangan.  Padahal qaulnya yang satu lagi(yang lebih kuat) aurat wanita ialah seluruh seluruh tubuhnya termasuk muka dan tapak tangan.
·         Tujuah penulis mengambil pendapat yang mengharuskan wanita yang dalam haid dan nifas membaca ayat-ayat al-Quraan, semata-mata untuk memudahkan mereka beramal dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak tanpa mensia-sia peluang bulan Ramadhan yang datang setahun sekali bagi golongan berkenaan.


Penulis: Ummu Ubaid
Blog : http://ummu-ubaid.blogspot.com/
Facebook: rosiah salleh
Tel: +6019 384 7544
17 Ramadhan 1432H/17 Ogos 2011.

Tuesday 16 August 2011

AMALAN BAGI WANITA KETIKA HAID & NIFAS DI BULAN RMADHAN


Sebahagian wanita Islam yang kedatangan haid dan nifas dalam bulan Ramadhan  merasa  tidak gembira dan bimbang  kerana kehilangan peluang  untuk  beramal dan beribadah dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah  dan Rahmat.  Kepada mereka yang berperasaan demikian  di nasihatkan supaya tidak berdukacita kerana yang mereka alami itu adalah  suatu ketetapan Allah keatas  manusia dari kaum Hawa.  Sepertimana yang di sabdakan olih  RSAW kepada Saidatina Aisyah r.a semasa dia dalam  kedatangan haid semasa mengerjakan haji(dalam ihram) “berkata Saidatina Aishah r.a ,Rasullah datang  kepadaku  sedang aku menanggis,lalu baginda bertanya “ apa hal  kamu ?, adakah kamu kedatangan haid?, aku menjawab:” Ya”, baginda menegaskan bahawa ini perkara yang Allah menetapkan ke atas wanita “(Riwayat Bukhari).

 Dalam sebuah hadith yang lain RSAW bersabda:” Apabila seorang hamba sakit atau musafir Allah menulis baginya pahala sepertimana ianya beramal ketika sehat dan tidak bermusafir(bermukim). Manakala haid adalah merupakan sebagai penyakit yang mendatang yang menghalang seorang wanita dari   melakukan perkara yang  bolih dilakukannya ketika dia sihat. Olih yang demikian, wanita yang kedatangan haid mempunyai simpanan tetap pahala ibadahnya.  Ini merupakan pemberian Allah kepada wanita yang taat melakukan kewajipanya semasa dia sehat, melainkan hanya terhalang dengan kedatangan haid atau nifas. Ramai kaum wanita yang kedatangan haid dalam bulan Ramadhan khasnya (dan bulan-bulan lain) ,sering melalaikan  dari mengingati Allah dan merasai nikmat kerohanian bulan mulia ini.  Mereka  menghabis masa dengan menonton TV atau seumpamanya dengan sangkaan bahawa mereka bolih berbuat demikian menjauhi segala amalan kerohanian atau ibadat  kerana mereka dalam haid atau nifas.  Akhirnya perasaan lemah  untuk beramal akan  menguasai mereka setelah mereka suci dari haid atau nifas  dan menyebabkan mereka malas untuk mengerjakan segala amal ibadah dan kebaikan.

Olih yang demikian , untuk menggelak terjadinya perasaan lemah tersebut dan menjaga supaya berterusan menghayati kerohanian bulan Ramadhan ini semasa dalam haid dan nifas dan menghindarkan dari mendapat kerugian pahala yang banyak yang bolih di perolihi, di anjurkan mereka melaksanakan berbagai-bagai amal ibadat yang masih bolih di lakukan olih wanita semasa dalam haid dan nifas. Antara amalam-amalanya adalah seperti berikut:
Doa ketika datang haid
  • Membaca Al Quraan tanpa musyhaf seperti membaca ayat-ayat alquraan yang tertulis di dinding2 atau di web-site dan you-tube.
  • Mendengar bacaan AlQuraan daripada CD,TV, Radio dan seumpamanya.
  • Membaca dan memahami ayat AlQuraan dari kitab tafsir.
  • Perbanyakkan ber zikir-ziki, Selawat dan doa-doa sepanjang waktu dan tempat . 
  •  

Doa ketika haid: “Alhamdulillah ‘ala kullin hal waasta’firrullaha min kullin zambin. Maksudnya: Segala puji bagi Allah di atas segala hal dan  Aku memohon keampunan  kepada Allah dari segala dosa.

-maka menulis oleh Allah baginya terlepas daripada api neraka
dan dapat lalu di atas Sirat dengan selamat dan aman
daripada azab dan meninggikan oleh Allah Taala
baginya dengan tiap satu hari dan satu malam
akan pangkatnya empat puluh orang mati syahid manakala
adalah perempuan itu dikira berzikir kepada Allah Taala
di dalam masa haidnya.
  • Mendengar ceramah-ceramah serta tazkirah melalui kaset,CD dan seumpamanya.
  • Membaca doa selepas mendengar azan setiap waktu .
  • Memberi nasihat kepada ahli keluarga supaya senantiasa mengingati Allah dan berzikir sepanjang hari di bulan Ramadhan .
  • Mengingatkan ahli keluarga supaya menunaikan solat fardhu setiap kali masuk waktu.
  • Menggalakkan ahli keluarga menunaikan solat-solat sunat: dhuha, terawikh, tahajud dan witir.
Disamping amal ibadah dan zikir seperti yang disebutkan,wanita dalam haid dan nifas juga bolih mendapat ganjaran pahala bulan  Ramadhan Al Mubarak dengan melaksanakan tugas-tugas harian rumahtgangga. Antara lainya:
  • Menyedaikan juadah berbuka dan bersahur .
  • Menghulurkan juadah kepada jiran-jiran atau ke surau-surau yang berdekatan.
  • Membangunkan ahli keluarga untuk bersahur.
  • Melibatkan diri dalam aktibiti dakwah dan kegiatan masyarakat pada waktu yang terluang dalam melaksanakan amal maaruf nahi mungkar.
Kesimpulannya setiap wanita yang kedatangan haid dan nifas, tidak pernah di beza dan di ketepikan olih Islam dalam menghayati bulan Ramadhan Al Mubarak dengan ibadah dan amalan kebaikan dalam lingkungan rumahtangga dan masyarakat sehari-hari.  Hanya kerana mereka tidak dapat menunaikan ibadah puasa (dan solat )mereka tidak kehilangan peluang untuk menikmati kelebihan bulan Ramadhan Al Mubarak.
Ummu Ubaid 5 Ramadhan 1432H(hrkh bil;1666(15-18 ramadhan 1432H)