Friday 16 February 2018

Fitnah

Fitnah Ust Zamri:
1. Mat Sabu, Tun M dan DSAI bukan tunduk pada DAP, tapi mereka bekerjasama melalui perjanjian bertulis yang ditandatangani bersama.
2.  RUU355 adalah dokumen legislatif hasil ijtihad politik pemimpin PAS.  Menolak RUU355 bermaksud menolak ijtihad pemimpin Pas, dan menolak ijtihad Pas tidak bermaksud menolak Islam.
3. Kes anak-anak Indra Ghandi tidak ada kena mengena dengan murtad.  Dua orang anak Indra Ghandi yg tinggal bersamanya tidak pernah memeluk Islam. Mereka hidup dan membesar sebagai seorang Hindu.  Ayah mereka mendaftarkan penukaran agama mereka secara unilateral. Mahkamah mendapati sijil penukaran agama yang dikeluarkan oleh Pendaftar Muallaf adalah tidak sah kerana ia dikeluarkan tanpa mengikut peraturan yg ditetapkan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam.  Sekiranya kes ini dibicarakan di Mahkamah Shariah sekalipun, penghakimannya tetap sama. Sijil itu tetap tidak sah mengikut undang-undang Malaysia.  Lagipun, seseorang itu tidak murtad hanya kerana sijil penukaran agamanya tidak sah.

#TolakLebaiBohong

Tuesday 13 February 2018

Putar belit Mantop oh mantop,

Putar belit fakta: cara terbaru PAS?

1. Video pendek dibawah adalah ucapan Ustaz Zamri Zainuldin @ Zamri 'Mantop' melalui laman FB PAS Kawasan Tanjung Karang. Beliau juga adalah Timbalan Pesuruhjaya 3, PAS Selangor.
2. Dengan sangat yakin dan bangga, beliau menamakan Pakatan Harapan (PH) sebagai Pakatan DAP. Logiknya mudah, pimpinan utama PH melibatkan Tun Mahathir, Dato' Seri Anwar dan Hj. Mat Sabu dikatakan telah berkompromi dan dengan mudah tunduk kepada Lim Kit Siang (LKS) dan DAP. Mereka telah berkompromi dan menerima LKS. Saya pelik sifir mudah beliau adalah siapa menerima LKS/DAP dikira tunduk patuh kepada LKS/DAP.
3. Jika demikian sifirnya; PAS dan YB Tuan Guru Dato' Seri Hj Hadi (TGHH) tidaklah sehebat mana seperti mana yang cuba digambarkan oleh penyokong tegar PAS kerana TGHH pernah duduk bersama LKS/DAP di dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

RUU 355 Dimainkan Semula
4. Bukti lain yang dicanangkan beliau adalah dalam polemik RUU 355. Penolakan RUU 355 yang dibawa oleh PAS bukanlah kerana ingin menolak Islam, tetapi PAS dilihat lebih bermain politik berbanding kejujuran 'memperjuang'kan hukum Islam. Akhirnya, PAS dipermainkan oleh UMNO sehingga penangguhan demi penangguhan dilakukan oleh Presiden PAS di Dewan Rakyat. Malah dalam sidang terakhir tahun 2017, Presiden PAS bukan sahaja tidak menyambung perbahasan RUU 355 malah beliau langsung tidak hadir ke Dewan Rakyat.
5. Permasalahan RUU 355 telah dibincangkan secara akademik oleh pelbagai pihak dengan penglibatan sebahagian sarjana-sarjana pengajian Islam. Kritikan mereka terhadap RUU 355 tiada kaitan langsung dengan LKS/DAP.
6. RUU 355 diperdebatkan kerana ia tidak boleh dianggap mewakili Islam secara mutlak dan wujud kejanggalan proses pembentangannya di Dewan Rakyat. Sekiranya RUU 355 mendapat sokongan dan restu pimpinan UMNO, mengapa pula pindaan RUU 355 ini tidak dijadikan usul yang dibentangkan sendiri oleh Kerajaan? Bukankah itu lebih kuat dan mudah?
7. Kalau Ustaz Zamri mengambil isu RUU 355 sebagai kayu ukur serangan beliau seperti mana dalam video tersebut, bukankah pada hujung bulan Mac 2017 kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang dikepalai Dato' Seri Najib 'lemah tengkuk' dan akhirnya menarik kembali sokongan terhadap pembentangan RUU 355 oleh Presiden PAS setelah menerima bantahan daripada MCA, MIC dan Gerakan selaku parti komponen BN. Amat pelik apabila serangan hanya dihalakan kepada DAP dan PH tanpa sedikit pun menghentam UMNO-BN. Adakah DAP juga yang 'bersalah' menghasut UMNO, MCA, MIC dan Gerakan menolak RUU 355? Jelas PAS kini memang mesra UMNO!
8. Pimpinan PAS pula acapkali mengajak mana-mana pihak yang mempertikaikan perjalanan pengurusan RUU 355 untuk berdebat. Kemuncak keangkuhan PAS dalam isu RUU 355 ini boleh dilihat melalui ucapan bongkak Bendahari Dewan Ulama' PAS Pusat yang juga Ahli Majlis Syura Ulama', YB Dato' Dr. Khairuddin Aman Razali al-Takiri yang ingin 'sekeh' kepala seorang mufti yang tidak bersetuju dengan RUU 355. Setelah cabaran debat RUU 355 disahut, tokoh ulama PAS itu senyap seribu bahasa dan bersegera mencari 'suaka' di hujung utara tanah air mencari jalan melepaskan diri. Jelas RUU 355 hanya mainan politik PAS!

Memainkan Sentimen kes Indira Ghandi
9. Ustaz Zamri juga secara terbuka menuduh bahawa anak-anak Saudara Ridhuan Abdullah dalam kes ini: "terpaksa diMURTADkan oleh keputusan mahkamah". Keputusan ini dakwa Ustaz Zamri menggembirakan DAP dan sekutunya yang anti Islam.
10. Saya tidak pasti sama ada Ustaz Zamri tidak membaca ringkasan keputusan mahkamah, tidak langsung mengambil tahu fakta kes atau secara tidak jujur ingin mengubah fakta dengan berbohong? Adalah tidak salah untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan selagi mana ia berdiri atas penghujahan fakta dan tidak memanipulasi penghakiman itu demi kepentingan politik sempit PAS.
11. Ustaz Zamri tidak perlu gopoh untuk mudah menyimpulkan bahawa anak-anak itu terpaksa dimurtadkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018 yang lalu. Mahkamah Persekutuan, antara lain, hanya menghakimi proses pendaftaran Islam tiga orang anak Ridhuan Abdullah dan Indira Ghandi dengan tugas utama menjawab isu sama ada pengislaman anak mereka boleh dilakukan sepihak atau mesti dengan persetujuan kedua belah pihak. Ia adalah isu penafsiran undang-undang bukan cubaan memurtadkan mana-mana pihak. Apa yang telah diputuskan hanyalah tafsiran terbaik, pada hemat mahkamah, berdasarkan undang-undang yang ada. Tidakkah keadilan yang cuba dilakukan dibuat oleh mahkamah dengan membuat keputusan secara objektif tanpa didorong oleh kepercayaan dan keyakinan moral peribadi.
13. Dalam kes Indira Gandhi ini, Seksyen 106 (b), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 menetapkan seseorang boleh memeluk Islam 'jika dia  belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan secara bertulis pemelukan agama Islam olehnya.' Mahkamah Persekutuan bagaimanapun memutuskan peruntukan ini harus selaras dengan Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan keizinan ibu dan bapa diperolehi.
14. Kalau Ustaz Zamri bersungguh melawan 'projek pemurtadan' orang Islam dengan merujuk keputusan kes Indira Ghandi yang mewajibkan perlunya persetujuan kedua belah pihak (ayah dan ibu bersekali), maka Ustaz Zamri dipersilakan menuduh perkara yang sama kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana hal yang sama telah lama diperuntukkan dalam Seksyen 117 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.
15. Seksyen 117 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 menyebutkan dengan jelas berkaitan syarat untuk membolehkan kanak-kanak bawah umur memeluk Islam: "jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu DAN bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya". Undang-undang ini mensyaratkan kedua ibu bapa mesti bersetuju barulah proses pendaftaran pemelukan kepada agama Islam sah dilakukan.
16. Tidakkah Seksyen 117 (b) ini selari dan sama dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu? Mahukah Ustaz Zamri menuduh dengan terbuka bahawa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mahkamah Syariah Selangor (apabila kes dikemukakan kepada mahakamah) dan Sultan Selangor telah dihasut dan tunduk dengan arahan DAP?! PAS telah bersama dengan kerajaan Selangor sejak 2008. Sanggupkah pula Ustaz Zamri menuduh Exco-Exco PAS ini bersekongkol 'memurtadkan' anak orang Islam apabila tidak melakukan apa-apa untuk merubah Seksyen 117 (b) itu? Jelas PAS bermain politik!
17. Sebenarnya Ustaz Zamri boleh sahaja berbeza pandangan. Namun beliau tidak perlu menggunakan cara serangan buruk dengan bahasa dan tuduhan jahat seperti yang dipertontonkan kepada umum melalui FB PAS KAWASAN TANJUNG KARANG.
18. Kesimpulannya, PAS mutakhir ini selesa menjadikan isu Islam sebagai modal politik sempit. Rakyat dan pengundi Melayu Islam harus beringat bahawa Islam ini lebih luas daripada apa yang digambarkan oleh PAS dan ianya milik semua merentasi bangsa apatah lagi lambang kepartian. Islam tidak akan sama sekali terbela dengan ucapan berniat jahat dan menuduh secara melulu walaupun kepada bukan Islam. Pilihlah Pakatan Harapan yang lebih santun dalam menyampaikan mesej Islam.

Abu Hafiz Salleh Hudin
Timbalan Pengerusi
Biro Dasar & Strategi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

Friday 9 February 2018

Tadabbur surah alKahfi:17-18

*Sabtu:10/2/18*
*Tadabbur Al Quran*
      
*SURAH AL-KAHFI: AYAT 17-18: KEADAAN DAN SUASANA DI DALAM GUA AL-KAHFI*

*Firman Allah SWT serta terjemahannya:*

وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ ۗ مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا (١٧)

_Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan. Dan apabila matahari itu terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada di tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah SWT, maka dialah yang mendapat petunjuk. Dan barangsiapa yang Allah Ta’ala sesatkan, maka dia tidak mendapat perlindungan dan bimbingan dari Allah SWT._

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ ۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا (١٨)

_Kamu menyangka mereka itu jaga, padahal mereka di dalam keadaan tidur. Dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri. Dan anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Kalau sekiranya engkau melihat mereka, nescaya engkau akan berpaling lari kerana takut (terhadap mereka)_

*📖 Tafsir ringkas:*

1. Walaupun pemuda-pemuda itu tidur di pintu gua yang luas yang boleh dimasuki oleh cahaya matahari, tetapi Allah Ta’ala memerintahkan matahari supaya menjauhkan cahayanya daripada mereka. Ini merupakan simpati Allah kepada orang-orang beriman. Manakala matahari pula meraikan mereka dengan perintah Allah Ta’ala. Matahari beredar ke sebelah kanan pada masa terbenam dan beredar ke sebelah kiri pada masa terbitnya supaya cahayanya yang panas itu tidak mengenai dan menjejaskan badan mereka.

2. Dalam kisah Ashab al-Kahfi, golongan yang memilih kesesatan ialah Raja Diqyanus bersama pembesar-pembesar dan rakyatnya. Manakala orang yang diberi petunjuk pula ialah pemuda-pemuda Ashab al-Kahfi yang mengasingkan diri ke dalam gua. Namun demikian, Allah tetap memelihara mereka.

3.  Mengikut riwayat para mufassirin, walaupun mereka tidur, tetapi Allah menjadikan mata mereka celik. Ini merupakan perkara yang menakjubkan. Mengapa Allah Ta’ala menjadikan mata mereka terbuka? Menurut kajian ilmu kesihatan, mata yang sentiasa celik tidak mudah rosak. Kalau mata itu tertutup terus menerus, ia akan menyebabkan terhindar dari terkena cahaya matahari dan boleh merosakkan mata dalam jangka masa yang panjang. Ada juga riwayat menyatakan mereka dimatikan oleh Allah Ta’ala. Hakikatnya sama sahaja, tidur dalam masa 309 tahun adalah menyerupai mati.

4. Allah Ta’ala membalik-balikkan badan mereka kadang-kadang ke sebelah kanan dan kadang-kadang ke sebelah kiri supaya badan mereka tidak reput atau dimakan oleh tanah. Kalau sekiranya dalam masa 309 tahun, badan mereka kaku di atas tanah, maka sudah tentu badan mereka akan menjadi reput atau dimakan bumi.

5. Keadaan tubuh badan mereka yang tidak bergerak dengan mata mereka yang celik menimbulkan ketakutan kepada setiap yang melihatnya. Bukan sekadar itu sahaja, malah Allah Ta’ala menjadikan kehebatan dan kegerunan kepada setiap yang memandangnya. Ini merupakan pemeliharaan Allah Ta’ala terhadap mereka dalam masa tiga ratus tahun lebih.  

*Pengajaran:*

1. Kisah Ashab al-Kahfi di dalam gua selama lebih 300 tahun merupakan kisah luar biasa yang Allah aturkan untuk menunjukkan kekuasaanNya. 

2. Hendaklah kita sentiasa memerhatikan ayat-ayat Allah di antaranya dengan menambah ilmu pengetahuan termasuk ilmu ‘alam kerana ia akan menampakkan kebesaran Allah Ta’ala dan meneguhkan iman kita.

3. Hendaklah kita berdoa kepada Allah agar kita sentiasa diberi petunjuk dan dijauhi dari jalan kesesatan.

*Rujukan:*

Tafsir Al-Azhar (Hamka)

Wednesday 7 February 2018

Muhasabah diri:Sisa hidup

Hidup ini tinggal sisa dan saki baki yang kita tidak tahu bila ia akan berakhir. Oleh itu jadilah kita orang yang paling bahagia dan membahagiakan. Orang yang ceria dan menceriakan.

Jadilah ibu yang menjadi kedamaian pada anak-anak.
Jika kita seorang isteri, jadilah isteri yang memberi kebahagiaan, keceriaan dan manfaat pada suami kita.
Kerna hidup ini hanya seketika.

Siapa duga dan sangka saat kudrat dengan kesihatan yang baik tiba-tiba kematian datang menimpa tanpa di sangka.

Pengajaran untuk kita betapa rapuhnya hidup kita. Kematian itu tidak mengira masa dan usia. Muda mahupun tua.

Jangan bertangguh untuk menjadi anak yang baik.
Jangan bertangguh untuk menjadi isteri yang baik
Jangan bertangguh untuk menjadi suami yang baik

Kadang-kadang kita terasa hati, kecewa, sakit hati, sedih.
Maaf kan sahaja. Jadilah orang yang memberi manfaat pada orang lain.
Kerana kematian itu sangat rapuh.

Jadilah orang yang bahagia dan membahagiakan.

Kita tidak tahu bila tiba masa kita mengadap Allah. Orang yang kita sayang pasti kita akan tinggalkan. Dan perpisahan itu adalah dengan sebuah kematian.

Moga bertemu di syurga.

Fahamilah 7 perkara dalam hidup kamu:

1. Apabila meninggal dunia ayah kamu , maka matilah pimpinan dan nasihatnya...

2. Apabila meninggal dunia ibu kamu, maka terpadamlah cahaya kelembutan belaian dan tunjuk ajar nya...

3. Apabila meninggal dunia abang kamu, maka longlailah cita2 yg dikongsi bersama...

4. Apabila meninggal dunia kakak kamu, maka hilanglah senyuman kasihnya...

5. Apabila meninggal dunia adik2 kamu, maka hilanglah tempat tumpang kasih, nakal, gurauan dan keceriaanya...

6. Apabila meninggal dunia pasangan kamu, maka pudarlah perkongsian harapan, perasaan dan keceriaannya...

7. Apabila meninggal  dunia sahabat kamu maka pudarlah sinar nasihat dan doa tulus dari bersih hatinya...

Ketahuilah.... hidup ini sangat singkat utk kedengkian, kemarahan, kebencian dan memutuskan hubungan kerana ESOK semuanya hanya tinggal kenangan.

Maka..
senyumlah, berlapang dadalah, maafkanlah sesiapa yang menyakitkan kamu lantaran kita tidak tahu.... bila kita akan berangkat ' meninggalkan' dunia yg fana ini....

Andai kamu melihat kanak-kanak yang sedang bermain, itulah masa silam kita.

Andai kamu melihat orang tua yang berjalan menggunakan seluruh kudrat kerana tidak larat. Maka, itulah masa depan kita.

Andai kamu melihat pula jenazah yang sedang diusung ke tanah perkuburan. Maka, ingatlah itulah nanti pengakhiran hidup kita didunia ini.

Sunday 4 February 2018

Muhasabah diri

Bismillah...💧Semakin bertambah usia semakin lemah tangan menggenggam..karena Allah sedang mendidik kita agar melepaskan cinta dunia.
                   *(Qs.Hud : 15-16)*

💧 Semakin bertambah usia semakin kabur mata kita... Karena Allah sedang menCerahkan mata hati untuk  melihat Akhirat.
                     *(Qs.Al Isra:72)*

💧 Semakin bertambah usia semakin sensitif perasaan kita.... karena Allah sedang mengajarkan bahwa pautan hati dengan makhluk senantiasa menghampakan.. namun hati yang berpaut kepada Allah, tiada pernah mengecewakan.
            *(Qs.Al Lukman : 22)*

💧 Semakin bertambah usia semakin gugur gigi-gigi kita....karena Allah sedang mengingatkan bahwa suatu hari kita akan gugur kedalam Tanah selamanya.
             *(Qs.Ali Imran : 145)* 

💧 Semakin bertambah usia semakin ditarik Nikmat kekuatan Tulang & Sendi kita....karena Allah sedang mengingatkan bahwa tak lama lagi Nyawanya akan di ambil...
                 *(Qs.An Nisa : 78)*

💧 Semakin bertambah usia semakin putih rambut kita....karena Allah sedang ingatkan kain kafan yang putih.
            *(Qs.Ali Imran : 185)*

💧 Begitu juga Hati kita...semakin bertambah usia semakin sepi dan ingin bersendirian...karena Allah sedang mendidik kita untuk melepaskan cinta manusia dan dunia...
‌             *(Qs.Al-An'am : 32)*