Thursday 18 August 2011

PENJELASAN TERPERINCI BAB MEMBACA AYAT-AYAT AL-QURAAN KETIKA HAID DAN NIFAS



Makalah ini di tulis dengan tajuk yang sedia maklum untuk panduan mereka yang dalam haid dan nifas supaya tidak terlepas dalam beramal untuk merebut peluang bulan Ramadhan yang datang setahun sekali.  Tidak ada sebarang maksud untuk bolih di tafsirkan sebagai menimbulkan kekeliruan. Kerana penulis sudah pun meniliti pendapat-pendapat ulama’ dengan tidak terikat hanya dengan satu-satu golongan atau mazhab.  Apa yang penting, penulis memilih pendapat ulama’ yang bolih membuka peluang untuk yang berkenaan beramal dengannya.   Tambahan pula pendapat yang di pilih adalah yang mempunyai hujah-hujah yang lebih kuat berdasarkan keterangan nas-nas hadis yang soheh.
Sememangnya diakui bahawa hukum membaca Al-Quraan adalah berbeza pendapat ulama’ mengenainya.  Dengan lain perkataan ia adalah masalah Khilafiah yang tidak perlu di perbesarkan apatah lagi dikalangan  golongan orang yang berilmu. Masing-masing bolih memegang pada pendapat yang dia rasa senang dan yakin untuk beramal dan tidak perlu menyalahkan pendapat lain yang dia tidak beramal denganya.
Berhubung dengan perkara ini, ada terdapat dua pendapat ulama’ yang masyhur iaitu seperti berikut:
1.    Golongan yang mengharamkan:Dengan alasan berpegang kepada sebuah hadis yang di riwayatkan olih Abu Daud, daripada Ibnu Umar daripada RSAW sabdanya:”Tidak bolih membaca sesuatu daripada al-Quraan bagi orang yang kedatangan Haid dan orang yang berjanabah”.
Hadis ini di sisi ahli Ilmuan adalah di anggap dhoif kerana antara periwayat hadis ini terdapat Ismail bin ‘Eiyash daripada Hijaz yang riwayat daripadanya di anggap dhoif olih ulama’ hadis.
Golongan ini juga berhujah dengan sebuah hadis yang di riwayat olih Saidina Ali katanya yang bermaksud:”RSAW membacakan al-Quraan kepada kami pada setiap keadaan selama baginda tidak berjanabah”. Golongan ini mengkiaskan larangan membaca al-Quraan pada golongan yang kedatangan haid dan nifas dengan hukum melarang membacanya  pada orang yang berJanabah. Alasan ini di tolak olih golongan yang mengharuskan wanita yang kedatangan haid dan nifas membaca al-Quraan dengan hujah bahawa mengkiaskan hukum wanita kedatangan haid dan nifas kepada hukum orang yang berJanabah adalah kias yang tidak tepat atau di sebut Kias Ma’a al Faariq kerana keadaan orang haid dan nifas tidak sama dengan keadaan orang yang berJanabah. Ini kerana haid dan nifas tidak ada pilihan bagi seorang wanita atas kedatangannya dan juga tidak dapat menguasai tempohnya. Tambahan pula haid dan nifas itu tempohnya adalah panjang, sedangkan orang yang berJanabah mendapat Janabahnya dengan pilihannya dan tempohanya pula pendek dan dia bolih mengangkat hadas Janabahnya dengan segera dan terus bolih membaca al-Quraan.  Dari itu ianya tidak bolih di kiaskan dengan haid dan nifas.

Golongan yang mengharamkan ini pun ada ketikanya mengharuskan wanita yang kedatangan haid dan nifas itu membaca ayat-ayat al-Quraan dalam keadaan tertentu seperti mereka yang menghafal al-Quraan atau membacanya kerana ada dalam peperiksaan atau ujian atau membacanya sebagai doa, seperti membaca ayat al-Kursi atau 3 qul ketika hendak tidur .

2.    Golongan yang kedua:Yang mengharuskannya dengan alasan tidak ada  keterangan atau nas yang melarangnya.  Mereka berhujah dengan hadis Aisyah r.aketika menunaikan Haji Wida’, sedangkan dia di dalam haid,RSAW bersabda kepadanya:”Buatlah apa-apa yang dilakukan olih orang yang mengerjakan haji kecuali tawaf di Baitullah sehingga anda suci”.
Didalam hadis ini tidak ada larangan membaca al-Quraan.  Sedangkan antara amalan orang yang mengerjakan haji itu adalah membaca ayat-ayat al-Quraan.
Golongan ini juga berhujah bahawa sekiranya wanita yang dalam haid dan nifas ini di larang membaca al-Quraan, pastilah RSAW ada menyebut atau menyatakannya kerana kedatangan haid dan nifas adalah perkara yang berlaku sebagai hadas besar kepada setiap wanita disetiap zaman dan masa. Maka adalah tidak dapat di terima akal jika sekiranya perkara yang sedemikian besar dalam kehidupan seseorang wanita itu di biarkan begitu saja tanpa ada bimbingan dari RSAW dan hanya menyerahkan pada ijtihad para ulama’.

3.    Kesimpulanya:
·         Hukum membaca ayat-ayat al-Quraan bagi wanita dalam haid dan nifas adalah perkara khilafiah  atau berbeza pendapat para ulama’mengenainya.
·         Dalam masalah khilafiah, para ulama’ bolih memilih mana-mana pendapat yang mahu di amalkan dan di ajarkanya pada masyarakat  awam.
·         Dalam masalah khilafiah, tidak bolih salah-menyalahkan antara satu golongan dengan golongan yang lain selagi mana pendapat-pendapat yang berbeza itu bersumber dari golongan ulama’ yang muktabar.
·         Perbezaan pendapat para ulama’(dalam masalah khilafiah)bolih memberi kemudahan untuk beramal menurut kesesuaian masa dan keadaan. Contohnya:Membayar zakat fitrah adalah dengan beras(di Negara kita)menurut Mazhab Shafie. Tetapi apa yang kita amalkan adalah membayarnya dengan wang sebagai nilai harga beras tersebut. Atau pun seperti memilih untuk beramal dengan satu pendapat dalam  Mazhab Shafie mengenai aurat wanita yang mengharuskan mendedahkan muka dan tapak tangan.  Padahal qaulnya yang satu lagi(yang lebih kuat) aurat wanita ialah seluruh seluruh tubuhnya termasuk muka dan tapak tangan.
·         Tujuah penulis mengambil pendapat yang mengharuskan wanita yang dalam haid dan nifas membaca ayat-ayat al-Quraan, semata-mata untuk memudahkan mereka beramal dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak tanpa mensia-sia peluang bulan Ramadhan yang datang setahun sekali bagi golongan berkenaan.


Penulis: Ummu Ubaid
Blog : http://ummu-ubaid.blogspot.com/
Facebook: rosiah salleh
Tel: +6019 384 7544
17 Ramadhan 1432H/17 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment