Friday 9 February 2018

Tadabbur surah alKahfi:17-18

*Sabtu:10/2/18*
*Tadabbur Al Quran*
      
*SURAH AL-KAHFI: AYAT 17-18: KEADAAN DAN SUASANA DI DALAM GUA AL-KAHFI*

*Firman Allah SWT serta terjemahannya:*

وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ ۗ مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا (١٧)

_Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan. Dan apabila matahari itu terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada di tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah SWT, maka dialah yang mendapat petunjuk. Dan barangsiapa yang Allah Ta’ala sesatkan, maka dia tidak mendapat perlindungan dan bimbingan dari Allah SWT._

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ ۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا (١٨)

_Kamu menyangka mereka itu jaga, padahal mereka di dalam keadaan tidur. Dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri. Dan anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Kalau sekiranya engkau melihat mereka, nescaya engkau akan berpaling lari kerana takut (terhadap mereka)_

*📖 Tafsir ringkas:*

1. Walaupun pemuda-pemuda itu tidur di pintu gua yang luas yang boleh dimasuki oleh cahaya matahari, tetapi Allah Ta’ala memerintahkan matahari supaya menjauhkan cahayanya daripada mereka. Ini merupakan simpati Allah kepada orang-orang beriman. Manakala matahari pula meraikan mereka dengan perintah Allah Ta’ala. Matahari beredar ke sebelah kanan pada masa terbenam dan beredar ke sebelah kiri pada masa terbitnya supaya cahayanya yang panas itu tidak mengenai dan menjejaskan badan mereka.

2. Dalam kisah Ashab al-Kahfi, golongan yang memilih kesesatan ialah Raja Diqyanus bersama pembesar-pembesar dan rakyatnya. Manakala orang yang diberi petunjuk pula ialah pemuda-pemuda Ashab al-Kahfi yang mengasingkan diri ke dalam gua. Namun demikian, Allah tetap memelihara mereka.

3.  Mengikut riwayat para mufassirin, walaupun mereka tidur, tetapi Allah menjadikan mata mereka celik. Ini merupakan perkara yang menakjubkan. Mengapa Allah Ta’ala menjadikan mata mereka terbuka? Menurut kajian ilmu kesihatan, mata yang sentiasa celik tidak mudah rosak. Kalau mata itu tertutup terus menerus, ia akan menyebabkan terhindar dari terkena cahaya matahari dan boleh merosakkan mata dalam jangka masa yang panjang. Ada juga riwayat menyatakan mereka dimatikan oleh Allah Ta’ala. Hakikatnya sama sahaja, tidur dalam masa 309 tahun adalah menyerupai mati.

4. Allah Ta’ala membalik-balikkan badan mereka kadang-kadang ke sebelah kanan dan kadang-kadang ke sebelah kiri supaya badan mereka tidak reput atau dimakan oleh tanah. Kalau sekiranya dalam masa 309 tahun, badan mereka kaku di atas tanah, maka sudah tentu badan mereka akan menjadi reput atau dimakan bumi.

5. Keadaan tubuh badan mereka yang tidak bergerak dengan mata mereka yang celik menimbulkan ketakutan kepada setiap yang melihatnya. Bukan sekadar itu sahaja, malah Allah Ta’ala menjadikan kehebatan dan kegerunan kepada setiap yang memandangnya. Ini merupakan pemeliharaan Allah Ta’ala terhadap mereka dalam masa tiga ratus tahun lebih.  

*Pengajaran:*

1. Kisah Ashab al-Kahfi di dalam gua selama lebih 300 tahun merupakan kisah luar biasa yang Allah aturkan untuk menunjukkan kekuasaanNya. 

2. Hendaklah kita sentiasa memerhatikan ayat-ayat Allah di antaranya dengan menambah ilmu pengetahuan termasuk ilmu ‘alam kerana ia akan menampakkan kebesaran Allah Ta’ala dan meneguhkan iman kita.

3. Hendaklah kita berdoa kepada Allah agar kita sentiasa diberi petunjuk dan dijauhi dari jalan kesesatan.

*Rujukan:*

Tafsir Al-Azhar (Hamka)

No comments:

Post a Comment