Saturday, 21 May 2011

MUBAHALAH (SUMPAH LAKNAT)

Mubahalah dari sudut syarak adalah, “saling laknat melaknati, iaitu berdoa agar diterima laknat dari Allah terhadap orang yang dusta daripada dua pihak yang saling laknat melaknati” [Tahrir Alfaz At-Tanbih : 1/247]

DALIL MUBAHALAH
Firman Allah;

فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ

Maksudnya;
“kemudian sesiapa Yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah Engkau beroleh pengetahuan Yang benar, maka Katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak Kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan Kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri Kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah Dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang Yang berdusta".

[Surah Al-Imran : 61]

Rombongan kaum nasara(kristian) datang ke Madinah seramai 60 orang. Sebahagian dari kalangan mereka itu terdiri dari beberapa orang paderi.
Tujuan mereka datang berjumpa sendiri dengan Rasullah s.a.w adalah kerana tidak puas hati dengan sahabat nabi yang telah berdialog dengan mereka di Najran. Selain dari berdialog dengan nabi, mereka juga meminta jaminan keselamatan diri dan agama mereka kerana Islam sudah menguasai bumi arab dan di Yaman yang mana di situ menpunyai penganut kristian.
Mereka berada di Madinah selama 3 hari dan berlakulah dialog dan yang mengambil bahagian ialah hanya 2 orang paderi sahaja. Dalam masa berdialog, Allah telah menurunkan ayat dari surah Ali Imran ayat 59 & 60  menjelaskan berkenaan nabi Isa a.s dan Adam a.s dicipta dari tanah .yang menyatakan “Isa itu macam nabi Adam a.s dicipta dari tanah

Sesungguhnya misal (penciptaan)'Isa di sisi Allah, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: "Jadilah" (seorang manusia), maka jadilah dia. (QS. 3:59)
(Apa yang telah Kami ceritakan itu), itulah yang benar, yang datang dari Rabbmu, karena itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu. (QS. 3:60) 

Semasa berdialog, nabi berhujah dengan ayat-ayat al-Quraan bab keEsaan Allah dan nabi Isa a.s sehingga mereka sudah tidak boleh menjawab dengan apa hujah pun. Namun demikian, nabi tetap melayan mereka sebagai tetamu dengan menyediakan tempat penginapan (di masjid nabi) dan makanan selama mereka berada di Madinah selama tiga hari itu.
Apabila sampai waktu sembahyang, mereka meminta kebenaran dari nabi untuk bersembahyang dan nabi membenarkan mereka bersembahyang di dalam masjid nabi sehinggakan menimbulkan pertikaian dari para sahabat. Namun nabi menegaskan biarkan mereka bersembahyang kerana Islam tidak mendiskriminasikan hak agama lain. Mereka sembahyang dengan mengadap ke arah sebelah timur.
Apabila mereka enggan menyahut cabaran nabi untuk bermubahalah, walapun sudah tidak boleh menjawab, mereka menyarankan agar nabi memutuskan utusan asalkan tidak memaksa mereka masuk Islam dan bersumpah laknat . Maka nabi memutuskan mereka membayar cukai atau jizziyah dan mereka juga memohon agar diberi jaminan keselamatan terhadap agama, gereja dan paderi-paderi mereka.

Perjanjian Rasullah dengan nasara Najran.
Nabi menulis surat perjanjian memberi jaminan kebebasan mereka mengamalkan agama mereka dan juga memberi jaminan gereja dan rumah-rumah ibadah mereka dan rahib-rahib mereka diberi perlindungan, tidak boleh di ganggu gugat oleh orang-orang Islam atau sesiapa jua.
Perjanjian bukan hanya khusus untuk kaum Najran itu sahaja tetapi seluruh penganut agama kristian kerana dalam surat perjanjian itu menyatakan untuk semua penganut agama kristian.
Peristiwa mubahalah akhirnya tidak berlaku dengan keengganan pihak nasara Najran itu. Dari itu sebahagian ulama' menyatakan bahawa mubahalah itu tidak ujud sebenarnya atau dalam bahasa yang lain ianya di larang dalam syariat Islam kerana apa yang Allah perintahkan kepada nabi itu hanyalah untuk baginda dalam kes mengakhiri dialognya. 
Apa yang di tegaskan dalam Al-Quran bab berdakwah terhadap ahli kitab ialah mengadakan dialog atau perdebatan dengan mereka bukan bermubahalah. Namun ada segolongan ulama' yang lain mengharuskan (membolehkan) mubahalah atau sumpah laknat.,tapi tidak di galakkan. Ini adalah kerana alangkan sumpah sahaja pun tanpa sumpah laknat di peringatkan Allah supaya jangan mudah bersumpah atau melakukanya dan di kaitkan orang yang suka bersumpah itu sebagai golongan munafik.
Berkaitan dengan sumpah laknat itu, ulama'-ulama' meletakan syarat-syarat tertentu untuk melakukanya. Dan antara syarat terpenting sumpah laknat hanya boleh dilakukan dalam perkara yang besar mengenai agama seperti dalam pertikaiaan mengenai ilmu akidah atau mengenai kebenaran sesuatu ajaran , Ia hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang benar-benar berilmu dan di kenali sebagai orang-orang yang bertaqwa. Ia bukanya boleh di lakukan atas perkara urusan peribadi atau jenayah kerana tempat sebegitu adalah tempatnya adalah di mahkamah dan ada prosedurnya. Sebab itu dalam sejarah Islam, amat jarang berlaku sumpah laknat. 
Di negara kita mungkin belum pernah berlaku sebelum sumpah laknat yang di lakukan oleh Datuk Eskay di Masjid Umru bin 'As pada April yg lalu. Apa yg di lakukan oleh Dato Sri Najib di sebuah masjid di kawasan Permatang Pauh semasa PRK kawasan tersebut tahun lalu hanya sumpah biasa (sumpah khasam) begitu juga yang pernah dilakukan oleh Almarhom Tunku Abd Rahman semasa beliau menjadi PM ketika mencabar PAS ketika itu beliau juga melakukan sumpah khasam sambil menjunjung Al-Quran pada tahun 1960, jadi ia bukan juga sumpah laknat.
Sebab itu ulama' tersohor dunia Dr Yusuf Al Qardhawi berkata:

وقال القرضاوي خلال حوار مع شبكة "أون إسلام": "أنا لست مع الدعوة للمباهلة، فالمباهلة تكون مع أناس عقلاء متدينين، يخافون عقاب الله، ويحذرون نقمته، كما كانت المباهلة بين النبي وبين نصارى نجران، وهم قوم متمسكون بعقيدتهم، وأهل حِجاج، ونقاش، وفيها نزل قوله تعالى: "فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ" (آل عمران: 61).

Maksudnya;
“Aku tidak mengajak kepada mubahalah. Ini kerana, mubahalah ini berlaku pada orang yang cerdik; yang beragama. Mereka takut akan azab Allah disamping mereka mengelak dari mendapat kecelakaan dari Allah. Ia sama seperti yang berlaku kepada Nabi SAW dengan orang-orang nasrani Najran, dalam keadaan mereka adalah kaum yang terlalu berpegang teguh dengan aqidah [kepercayaan] mereka, dan mereka adalah ahli Hujjah. Lantaran, Allah SWT menurunkan firman-Nya dari surah Al-Imran ayat 61[1]”

Melihat kepada kata-kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi ini, nyata bahawa mubahalah bukanlah perkara yang baik dan mudah dilakukan begitu sahaja, sebaliknya ia berlaku dalam perkara-perkara penting dalam agama sahaja.

No comments:

Post a Comment